Thursday, 31 January 2013

APASEBENARNYA ANAK TAK SAH TARAF




Masyarakat pada hari masih memandang rendah kepada anak luar nikah yang mana ianya antara sebab dan ukuran untuk mencari calon menantu yang sesuai untuk anak-anaknya. Walaubagaimanapun scenario ini adalah kurang sihat dan hanya menimbulkan penganiayaan sekaligus menyebabkan anak tersebut rasa sangat tertekan. Ini kerana kelahiran seumpama itu bukanlah sesuatu yang dipinta oleh sesiapa jua melainkan dengan kesalahan atau kesilapan seorang yang bergelar lelaki dan wanita yang mengambil mudah akan hokum hakam dan batas pergaulan sehingga mereka terjebak ke lembah maksiat. Kesannya maka timbullah gelaran anak tak sah taraf atau anak luar nikah. Saya berpandangan sedemikian bukanlah untuk membenarkan apatah lagi untuk menggalakkan berlakunya perihal yang menyalahi Hukum Syarak, Namun disebabkan pandangan negatif masyarakat kepada anak luar nikah, telah menyebabkan berlakunya banyak kes yang semakin kompleks seperti pasangan suami isteri yang perlu dinikahkan semula dengan menggunakan wali hakim ekoran dari sikap ibu atau bapa anak luar nikah tersebut bertindak menyembunyikan status anak tersebut sehingga pernikahan anak tersebut dijalankan.

Mengapa perkara ini tidak dimaklumkan kepada pihak-pihak yang berkaitan sebelum berlakunya majlis akad nikah tersebut? Alasannya ialah kerana malu untuk mendedahkan status anak tersebut iaitu anak luar nikah atau anak tak sah taraf kepada sesiapa jua. Puncanya adalah masyarakat sendiri yang menunding jari kepada anak-anak seumpama itu. Alangkah kasihannya mereka yang memegang status tersebut, bukan pinta mereka.... bukan salah mereka.......Jadi wahai masyarakat! Janganlah memandang rendah kepada anak luar nikah.....

Ada juga beberapa kes di mahkamah Syariah yang melibatkan urusan permohonan seorang bapa yang ingin mengesahkan taraf anak tersebut sama ada anak itu adalah anak kandung darah dagingnya sendiri atau sebaliknya. Perkara ini secara tidak langsung menyentuh isu yang berhubung dengan dakwaan oleh suami kepada isteri sama ada isterinya mengandungkan anak tersebut hasil dari perhubungan wanita tersebut dengan suaminya ataupun hasil perhubungannya dengan lelaki lain. Pengesahan ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara di zaman yang penuh dengan kemajuan teknologi sains, antaranya ialah dengan menjalani ujian DNA terhadap anak tersebut. Dengan cara tersebut biasanya pihak-pihak akan berpuas hati dengan keputusan keesahan taraf anak tersebut. Sealin itu juga cara biasa yang diguna pakai ialah dengan meneliti sijil kelahiran dan melihat tempoh kehamilan adakah cukup atau lebih dari tempoh enam bulan kandungan dilahirkan. Jika sebaliknya Hukum Syarak dan Peruntukan undang-undang ada menggariskan status anak tersebut sebagaimana yang akan diterangkan selepas ini.

Perkara utama yang perlu diteliti untuk menentukan status taraf anak ialah nasab. Ini kerana dengan penentuan nasab maka ia akan menyempurnakan hak seseorang anak itu dari segi hak jagaan, nafkah, penyusuan, pewarisan, pergaulan dan pelbagai lagi perkara lain.

Berdasarkan Hukum Syarak keturunan sebelah bapa sahaja yang boleh diiktiraf bagi menentukan sehatarafan anak.

Rasulullah pernah bersabda, maksudnya:

Anak adalah milik firash (ibu yang sah) dan bagi penzina (bapa) hanyalah batu.

Dalam ertikata lain penzina lelaki tidak akan mendapat apa-apa termasuk hak jagaan anak hasil perzinaannya. Walau bagaimanapun dalam memahami mafhum hadis ini menjelaskan bahawa anak masih boleh dinasabkan tetapi dengan nasab ibunya sahaja. Dan di sini juga menunjukkan bahawa Syarak masih lagi mengamanatkan ibu untuk melindungi hak anak tak sah taraf, dan bukannya dibiarkan begitu sahaja.

Oleh itu anak yang tidak mempunyai bapa yang sah sebeginilah yang dikatakan sebagai anak tak sah taraf atau anak luar nikah.

Umumnya anak tak sah taraf boleh dikategorikan kepada beberapa jenis, iaitu:-

1)Anak hasil perzinaan
2 b) Anak yang dilahirkan dari pernikah yang sah,tetapi telah memenehi kriteria yang meragukan menyebabkan jadi anak tak sah taraf, dan kriteria tersebut ialah; i) Lian (perceraian secara menafikan nasab anak yang dikandung)ii) Tempoh kandungan yang ditetapkan fuqahak selepas isteri diceraikan atau kematian.(kurang 6 bulan selepas pernikahan) iii)Suami yang telah disahkan tidak akan dapat menghasilkan anak, tetapi isterinya mengandung iv)Tuan yang tak mahu menuntut nasab anaknya yang dilahirkan oleh hamba wanitanya. Selanjutnya merujuk pada seksyen 111, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 berkenaan dengan perkara kesahtarafan anak, ada memperuntukkan sebagaimana di bawah:

Jika seseorang perempuan yang berkahwin dengan seseorang lelaki melahirkan anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinannya itu, atau dalam masa empat tahun qamariah selepas perkahwinannya itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh, dengan cara lian atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan Mahkamah.

Selanjutnya merujuk pada seksyen 112 enakmen yang sama menyatakan bahawa:

Jika anak itu dilahirkan lebih daripada 4 tahun qamariah selepas perkahwinan itu dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, lelaki itu tidak boleh disifatkan sebagai bapa anak itumelainkan jika lelaki itu ataumana-mana warisnya menegaskan bahawa anak itu adalah anak lelaki itu.


Oleh itu berpandukan pada kedua-dua seksyen ini, maka dari segi undang-undangnya kita dapatlah ditentukan sama ada anak tersebut adalah anak sah taraf atau sebaliknya.

Terdapat beberapa kes yang pernah diputuskan berkaitan secara tidak langsung dengan pengesahan taraf anak. Antaranya ialah kes Salim V Masiah(1976), Jurnal Hukum (2) 296, di mana dalam kes ini mahkamah mendapati bahawa walaupun pihak suami mendakwa isterinya mengandung sebelum berkahwin dengannya namun disebabkan wanita tersebut melahirkan anak selepas 8 bulan berkahwin, anak tersebut dikira sebagai anak sah taraf dan suaminya dikehendaki membayar nafkah anak tersebut.

Adakah anak taksah taraf berhak mendapat nafkah?
Berdasarkan peruntukan undang-undang Syariah Seksyen 81 (1)Enakmen Undang-undang keluarga Islam Selangor 2003, memperuntukkan bahawa:

Jika seseorang perempuan cuai atau enggan menanggung nafkah seseorang anaknya yang tak sah taraf, yang tidak berupaya menanggung nafkah dirinya, melainkan seorang anak yang dilahirkan akibat rogol, Mahkamah boleh, apabila hal itu dibuktikan dengan sewajarnya memerintahkan perempuan itu memberi apa-apa elaun bulanan yangdifikirkan munasabah oleh mahkamah.

Selanjutnya merujuk kepada siapakah penjagaan anak tak sah taraf diletakkan? Peruntukan seksyen 86 Enakmen yang sama menyatakan bahawa kanak-kanak tak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara-mara sebelah ibu.

Terdapat satu fakta dari Keputusan Fatwa Kebangsaaan memutuskan bahawa :

Perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya tidakboleh dinasabkan kepada lelaki tersebut dan tidak hak untuk mewarisi pusaka lelaki itu, malah bukan mahram kepada lelaki itu, sekiranya anaknya perempuan maka lelaki itu tidak boleh menjadi wali kepada anaknya.

Umumnya pada hari ini masyarakat sewenang-wenangya membinkan atau membintikan anak tersebut kepada nama bapa yang menjaganya, sebaliknya adalah wajib dibinkan atau dibintikan dengan Abdullah walaupun pasangan tersebut telah berkahwin.

Hak pewarisan juga secara tidak langung tidak wujud kepada anak tak sah taraf dalam ertikata lain anak tak sah taraf tidak boleh mewarisi harta pusaka bapanya. Oleh yang demikian saya mencadangkan jika mana-mana pihak berhasrat untuk memberikan hartanya kepada anak yangtidak sah taraf hendaklah mengikuti prosedur pemberian secara Hibah, iaitu memberikan harta atau apa-apa aset yangmenjadi miliknya kepada anak tersebut semasa ibu bapa masih hidup, dan untuk memudahkan lagi agar tidak berlaku pertikaian di masa akan datang perlulah pemberian tersebut dilakukan secara bertulis atau hitam putih.

Panduan Pembahagian Harta Pusaka

Majalah Jelita , April 2008


. Soalan: Arwah bapa saya ada meninggalkan sebidang tanah dan sebuah rumah pusaka. Bagaimanapun selepas kematiannya, emak saya mengatakan bahawa rumah itu adalah milik tiga daripada enam adik-beradik saya. Saya sendiri tidak mendapat bahagian daripada rumah dan tanah pusaka itu. Buat pengetahuan puan, adik-beradik saya tiga lelaki dan tiga perempuan. Saya tidak tahu bagaimana hendak menasihatkan emak saya dalam hal ini. Dia nampaknya tidak adil dalam pengurusan harta. Bolehkan puan memberi panduan dan penyelesaian? Terima kasih.Yang BerharapPerak.

Puan,
dalam mencari penyelesaian masalah puan ini, terlebih dahulu kita mesti mengenal pasti tentang status harta terutamanya rumah pusaka yang telah ditentukan untuk tiga beradik yang lain yang dipertikaikan sebagaimana di bawah:-

Adakah benar rumah yang ditinggalkan oleh arwah bapa adalah milik tiga daripada enam adik beradik puan? Dengan cara apakan harta tersebut dikategorikan sebagai pemilikan ke atas ketiga orang adik beradik puan? Adakah dengan cara hibah ataupun wasiat?

Jika benar, ada apa-apa transaksi yang pernah dilakukan dari segi dokumentasi (secara bertulis) ataupun saksi-saksi yang menyatakan bahawa arwah bapa memberikan harta-hartanya kepada anak-anaknya yang tertentu semasa hayatnya? Jika ada maka pihak puan sendiri atau mana-mana dari ahli waris boleh memfailkan ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan hibah berpandukan sumber-sumber tadi agar tidak akan berlaku pertikaian antara waris-waris, malahan untuk tujuan pindahmilik nama bagi harta-harta tersebut.

Ini kerana, jika ada, maka pihak puan sendiri tidak ada hak untuk mempertikaikan tindakan arwah bapa tersebut, tambahan lagi dalam pengetahuan dan dengan persetujuan ibu puan sendiri yang mana pada hakikatnya ibu puan mempunyai hak dan bahagian yang lebih berbanding dengan ahli waris yang lain seperti harta sepencarian dan pusaka.

Namun dalam mengenalpasti sama ada wujudnya proses pemberian semasa hidup (hibah) perlu diselidiki terlebih dahulu adakah tindakan tersebut bertepatan dengan kehendak Hukum Syarak?

Perkara utama yang menyempurnakan pemberian Hibah iaitu penerimaan barang hibah atau Al-Qabd, maksudnya ialah memperolehi sesuatu, menguasai dan dapat melakukan sesuatu ke atas barangan tersebut. Selepas lafaz ijab kabul dibuat, sesuatu hibah hanya sempurna apabila berlaku al-qabd atau penerimaan barang dengan perbuatan oleh penerima. Ia bermakna lafaz ijab oleh penghibah dan lafaz qabul oleh penerima saja tidak memadai untuk menyatakan sesuatu lafaz hibah sudah sempurna. Contohnya, bapa puan menghibahkan tanahnya kepada tiga orang anak yang lain dengan lafaz: "Aku beri tanah ini kepada kamu bertiga", lalu anak-anak lain menjawab, "Baiklah kami terima." Tetapi tanah tersebut tidak diserahkan kepada anak-anak sepenuhnya. Contohnya anak-anak tidak dibenarkan berbuat apa-apa pada tanah tersebut

Hibah ini tidak sah sehingga tanah diserahkan sepenuhnya dan boleh dilakukan sebarang aktiviti ke atas tanah tersebut. Walaupun hakmilik secara bertulis masih atas nama arwah, namun anak-anak adalah pemilik sebenarnya selepas sempurna hibah tersebutDalam penentuan hibah tersebut, perlu juga diteliti bolehkah ianya dilakukan ketika seseorang itu sedang sakit tenat atau nazak? Contohnya bapa sakit tenat, tiba-tiba berpesan kepada anaknya supaya membahagi harta iaitu rumah kepada tiga daripada enam adik-beradik. Adakah pemberian itu dianggap hibah atau wasiat? Jika ia hibah, adakah sah dilaksanakan? Contoh di atas dinamakan hibah dalam Mard al-Maut, iaitu sakit yang boleh menyebabkan kematian. Hibah dibuat pada waktu itu boleh dihukum mengikut satu daripada dua kaedah iaitu kaedah hibah atau wasiat. Jika bapa puan meninggal dunia selepas itu, sebelum al-qabd berlaku, maka hibah itu dihukum sebagai wasiat. Mengikut kaedah wasiat, hibah itu hendaklah dilaksanakan setakat tidak melebihi satu pertiga daripada harta arwah bapa dan penerima hibah pula bukan seorang daripada waris penghibah/simati. Maka jika pemberian arwah bapa puan dalam keadaan mard-al-Maut ini ia hanya tepakai untuk bukan ahli warisnya. Secara tidak langsung adik beradik puan yang tiga orang tadi tidak berhak menerima harta-harta tersebut.

Sebagai ahli waris, jika ada keraguan dalam proses penghibahan ini maka puan bolehlah memfailkan kes ini ke mahkamah. Ini pada dasarnya kesemua harta peninggalan arwah selagi tidak bertukar nama pemilik di atas geran ianya adalah milik arwah secara total dan perlu dibahagikan menurut Hukum Syarak. Untuk mengelakkan ketidakpuasan hati, terkilan atau pertikaian yang berpanjangan perkara ini perlu diperhalusi dan diteliti. Ini memandangkan ianya melibatkan ahli waris dan pihak yang telah meninggal dunia.

Perkara inilah akan menyebabkan sesuatu kes itu perlu dibawa ke Mahkamah Syariah. Sekiranya arwah bapa puan menghibahkan hartanya kepada anak-anak tadi dengan cara terus menukar namanya di dalam dokumen hak milik kepada nama adik-beradik puan tadi, ianya tidak boleh dipertikaikan lagi. Ini kerana ianya telah menjelaskan bahawa harta itu bertukar milik kepada adik beradikpuan sepertimana yang tertulis di dalam dokumen hak milik tersebut. Jika tidak, maka tindakan menghibahkan hartanah tersebut perlu disahkan oleh Mahkamah Syariah sebelum penukaran nama dilakukan.

Namun bagaimana pula halnya jika pemilikan diberikan oleh arwah bapa kepada tiga adik beradik puan tadi dengan cara wasiat? Jawapannya adalah tidak dibenarkan oleh Syarak sama sekali. Ini kerana penerimanya hendaklah terdiri dari bukan ahli waris iaitu mereka yang tiada hak faraid ke atas pusaka simati kecuali mendapat persetujuan daripada ahli-ahli waris yang lain. Di sini jelas menunjukkan bahawa penyerah pemilikan sebagaimana yang didakwa oleh ibu puan dilakukan kepada ahli waris tanpa pengetahuan ahli waris yang lain termasuk puan. Ianya sama sekali tidak wajar dilakukan dan boleh dicabar di mahkamah keesahan pemilikan kepada tiga beradik tadi sebagaimana yang didakwa oleh ibu puan.

Selanjutnya berkenaan dengan sebidang tanah yang ditinggalkan oleh arwah bapa puan, di mana secara jelasnya perlulah dibahagikan kepada ahli waris secara faraidh. Ini kerana berdasarkan peruntukan Syarak, wajiblah puan dan ahli waris lain melaksanakan pembahagian harta peninggalan arwah bapa berdasarkan Hukum Faraid.menurut syarak. Tidak ada alasan lagi untuk berdalih-dalih melarikan diri dari kewajipan melaksanakan faraidh.

(2) Masalah yang puan hadapi adalah sebagai berikut: Si mati meninggalkan: 1. Seorang isteri (ibu puan) 2. 3 anak lelaki 3. 3 anak perempuan
Menurut pembahagian faraidh masing-masing mendapat: 1. Isteri - 1/8 2. Tiga anak lelaki ] 6 orang anak ini mendapat ashobah maa ghairih 3. Tiga anak perempuan ] iaitu lebihan dari apa yang diperolehi oleh isteri si mati.
Isteri si mati mendapat satu perlapan ketika wujud anak atau anak kepada anak (cucunya). Firman Allah Taala: "Jika kamu semua mempunyai anak, maka isteri kamu mendapat satu perlapan." (al-Nisaa': 12)
Ashobah ialah lebihan harta selepas dibahagikan kepada pewaris yang mempunyai bahagian yang pasti. Asahobah yang paling utama ialah anak lelaki, firman ALlah Taala: "Allah memberikan wasiat kepada kamu semua berkaitan dengan anak-anak kamu." (al-Nisaa': 11)

Anak lelaki boleh meng-ashobahkan saudara perempuannya, ini berdasarkan firman ALlah Taala: "Allah berwasiat kepada kamu semua berkaitan anak-anak kamu, yang lelaki hendaklah diberi bahagian dua kali ganda dari bahagian yang diberikan kepada perempuan." (al-Nisaa':11)

Dalam masalah puan ini, anak-anak memperoleh bahagian ashobah (lebihan daripada bahagian ibu puan). Anak lelaki mendapat dua kali ganda berbanding anak perempuan.

Penentuan/ Pecahan pembahagian
Isteri dapat 1/8 kerana si mati mempunyai anak, cucu atau cicit
Anak Lelaki dapat dua kali ganda bahagian anak perempuan
Anak Perempuan dapat bahagian ditaksib iaitu mendapat separuh daripada bahagian anak lelaki


Bahagian
Anak lelaki 1
14/72
Anak lelaki 2
14/72
Anak lelaki 3
14/72
Isteri
9/72
Anak perempuan 1,
7/72
Anak perempuan 2,
7/72
Anak perempuan 3,
7/72

Oleh yang demikian dalam penentuan pemilikan harta selepas bapa meninggal dunialah ialah tentang keesahan pemberian rumah tersebut kepada tiga beradik puan. Seterusnya barulah ditumpukan kepada tanah yang ditinggalkan oleh arwah bapa puan.

Namun sebelum itu terdapat beberapa hak harta pusaka yang mesti ditunaikan dahulu iaitu:
1. Belanja menguruskan jenazah
a)memandikan mayat. b) mengkafankan mayat. c) membawa ke tanah perkuburan. d) mengkuburkan simati
2. Belanja pengurusan pentadbiran harta pusaka
3. Jelaskan hutang si mati
Hutang dengan Allah seperti zakat, haji, kifarah, nazar, fidyah
Hutang dengan manusia
4. Harta sepencarian
5. Sedekah (amal jariah) jika ada dengan syarat :
Tidak lebih satu pertiga daripada harta bersih setelah tolak hutang (Kecuali dengan persetujuan waris).
Tidak disedekahkan kepada waris yang berhak terima pusaka (Kecuali dengan persetujuan waris).
Mengikut hukum syarak
6. Selebihnya barulah difaraidkan mengikut hukum syarak.
Oleh itu saya cadangkan puan kenalpasti dahulu tentang isu adakah benar arwah bapa memberikan rumah hanya kepada tiga beradik puan semasa hayatnya, dan selanjutnya barulah diselesaikan pula pembahagian berkaitan dengan tanah pusaka arwah bapa puan.

Hak Seorang Isteri Apabila diceraikan


MAJALAH JELITA BULAN FEBRUARI

Secara umumnya wanita yang telah diceraikan oleh suaminya berhak menuntut nafkah untuk dalam tempoh Iddah, iaitu selama tiga kali suci. Namun perkara ini kurang diambil perhatian oleh pihak-pihak yang telah bercerai terutamanya bagi golongan suami yang langsung tidak endah akan tanggungjawab dan kewajipan yang masih terletak dibahunya, sehinggalah bekas isterinya bertindak memfailkan tuntutan nafkah Iddah di mahkamah. Bukankah pekara ini merugikan masa pihak-pihak termasuklah suami yang terpaksa turun naik ke mahkamah berkali-kali semata-mata untuk menyelesaikan tuntutan oleh bekas isterinya sedangkan perkara ini tidak perlu dibawa ke mahkamah jika suami sedar dan melaksanakan tanggungjawabnya menanggung isteri semasa dalam tempoh Iddah?

Ini kerana kebanyakan kes-kes tuntutan nafkah Iddah di mahkamah kelihatan seolah-olah membuang masa semua pihak terutamanya kes-kes yang melibatkan amaun tuntutan yang sedikit tetapi memakan masa sehingga 2 ke 3 tahun dan perkara ini seharusnya boleh diselesaikan secara baik sekiranya suami tersebut tahu tentang hokum dan tanggungjawabnya walaupun tidak berhajat untuk rujuk semula selepas bercerai dengan bekas isterinya.

Dalam hal ini golongan wanita mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan Nafkah Iddah dan mahkamah berbidangkuasa untuk mendengar tuntutan ini atas asas berikut iaitu:-

1)Suami langsung tidak membayar nafkah kepada isteri dalam tempoh Iddah
2)Isteri tidak berpuashati dengan jumlah yang diberi oleh suami

Apa yang dimaksudkan dengan Nafkah Iddah? Nakah Iddah ialah nafkah yang berhak de\iperolehi istei yang diceraikan yang sepenuhnya ditanggung oleh pihak suami sepanjang tempoh Iddah sama seperti wanita tersebut masih bergelar isteri. Namun tempoh masanya berbeza mengikut tempoh Iddah. Empoh Iddah berbeza sepertimana berikut:-
1) Wanita hamil telah tamat tempoh Iddahnya setelah dia melahirkan anak atau keguguran sama ada bercerai hidup atau bercerai mati
2) Wanita yang masih didatangi haid tamat tempoh Iddahnya selepas tiga kali suci
3) Wanita yang haidnya tidak normal atau putus haid tamat tempoh Iddahnya selepas tiga bulan
4) Wanita yang kematian suami dan tidak hamil tamat tempoh Iddahnya setelah empat bulan sepuluh hari.
5) Wanita yang tidak pernah disetubuhi tidak ada tempoh iddah.

Dari segi hukum Syarak perempuan yang dalam Iddah bercerai mati tidak dibenarkan untuk berhias diri dalam situasi yang boleh menyebabkan lelaki lain tertarik. Mereka juga dilarang untuk menerima lamaran secara terang-terangan apatah lagi cuba untuk menggoda perhatian lelaki.

Golongan wanita apabila diceraikan tidak seharusnya diletakkan di dalam keadaan yang susah selepas diceraikan lebih-lebih lagi apabila perceraian tersebut berlaku tanpa sebab-sebab yang patut dan munasabah seperti masalah orang ketiga, masalah kewangan suami ataupun atas faktor dan desakan pihak lain dan bukannya atas kemahuan isteri itu sendiri.

Bekas isteri berhak kepada taraf hidup yang sama selepas diceraikan seperti taraf hidup semasa perkahwinan dengan suaminya dahulu walaupun di dalam tempoh Iddah. Adalah menjadi tanggungan Suami untuk memastikan kehidupan Isteri selesa selepas diceraikan dan tidak dibebani dengan masalah-masalah kewangan dan lain-lain.

Ini adalah selari dengan Firman Allah SWT di dalam Surah At-Talaq : 6 yang berbunyi seperti berikut:


Yang bermaksud:
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani Iddahnya) itu ditempat yang sesuai dengan kemampuan kamu; Dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan untuk menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusukan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya”

Di bawah Seksyen 59(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan dengan jelas kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia Ini untuk memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada bekas isterinya. Peruntukan tersebut menyebut:

“Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”

Manakala di bawah Seksyen 65 (1) Akta yang sama juga telah jelas dan nyata memperuntukkan hak seorang isteri yang telah diceraikan untuk menerima nafkah daripada bekas suaminya sepanjang tempoh Iddah. Peruntukkan tersebut menyebut bahawa :-

“ hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh Iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz”

Walaubagaimanapun kebanyakan kes-kes di mahkamah ada menunjukkan tentang salah faham di pihak bekas sumai yang mana suami enggan untuk membayar nafkah Iddah isterinya atas alasan isteri telah berlaku nusyuz semasa dalam tempoh perkawinan. Malangnya suami mendakwa isteri nusyuz tanpa mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa adanya perintah mahkamah yang mengsiytiharkan isteri nusyuz. Sebaliknya bekas suami ini menggunakan kesempatan dengan mendakwa bekas isterinya dahulu berperangai menyerupai nusyuz dan menggunakan alasan tidak mahu memperbesar-besarkan kesalahan yang dilakukan oleh isterinya dahulu. Maka dalam hal ini wanita tidak perlu takut kerana peruntukan undang-undang cukup jelas menyatakan bahawa untuk mendakwa isteri hingga ke tahap nusyuz, sekaligus menghentikan hak istei untuk menerima nafkah termasuk dalam tempoh Iddah memerlukan satu perintah dari mahkamah. Justeru, selagimana tidak ada sebarang perintah yang mengisytiharkan isteri itu Nusyuz, maka hak untuk mendapat nafkah sehingga dalam tempoh Iddah masih lagi wujud dan perlu dituntut jika suami enggan melaksanakannya.

Terdapat salah faham di kalangan masyarakat hari ini di mana apabila talak dilafazkan oleh suami, maka isteri perlu keluar dari rumah kelamin dan tidak berhak tinggal sebumbung dengan suami lagi. Malah ada kes yang berlaku di negara kita di mana oleh kerana kurang kefahaman tentang Hukum Syarak oleh pihak suami, selepas berlakunya perceraian suami menghalau bekas isterinya yang masih dalam tempoh Iddah keluar dari rumah kelamin tersebut. Keadaan ini semakin rumit apabila adik-beradik bekas suami juga turut masuk campur menghalau bekas isteri tadi dan mengatakan bekas isteri tersebut tidak tahu malu, masih menumpang di rumah adiknya walaupun telah diceraikan! Namun setelah dirujuk kepada pihak yang lebih arif isteri tersebut bertegas untuk tinggal di rumah tersebut sehinggalah selesai tempoh Iddah. Keaadan ini perlu diperjelaskan dalam masyarakat kita terutamanya golongan suami yang kurang faham tentang hak wanita semasa dalam tempoh Iddah sepertimana berikut:-

Wahai Nabi! Apabila engkau hendak menceraikan isteri-isteri kamumaka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya danhitunglah masa iddah itu dengan betul serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.

(Surah At-Talaq (65))

Apakah hikmah yang tersirat dari kewujudan perintah nafkah Iddah ini? Adalah perlu mengambil kira akan kesulitan-kesulitan yang dialami oleh Isteri selepas ditinggalkan dan diceraikan oleh suami yang mana Isteri terpaksa menanggung beban rumahtangga seorang diri tanpa dibantu oleh Suami. Tambahan pula bagi kes-kes yang melibatkan Suami tidak meninggalkan apa-apa harta semasa penceraian yang lalu disamping keluarga Suami juga tidak memperuntukkan apa-apa nafkah kepada Isteri..

Sehubungan dengan itu, Isteri wajar menerima nafkah daripada bekas suaminya iaitu dalam tempoh Iddah dengan jumlah yang dipohon kerana jumlah tersebut memenuhi serba sedikit keperluan Isteri. Keadaan ini juga bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

Yang bermaksud:
“Ambillah (daripada harta suamimu) apa yang mencukupkan kamu dan anak-anak kamu dengan baik”

Terdapat juga persoalan yang timbul iaitu bila nafkah Iddah boleh diminta? Adakah tuntutan akan luput selepas tempoh Iddah selesai? Terdapat nas yang menyatakan bahawa nafkah isteri tidak gugur bahkan hutang yang tertanggung ke atas suaminya.

Kadar pemberian nafkah tertakluk kepada jenis talak yang jatuh kepada isterinya sama ada talak rajie atau talak bain. Jika diceraikan dengan talak rajie suami perlu menanggungnya seperti berikut:-

i. Memberikan makanan sepatutnya
ii. Menyediakan pakaian yang sepatutnya
iii. Mengadakan tempat tinggal yang selesa
iv. Memenuhi keperluan asas lain seperti perubatan, peribadatan, pendidikan, dandanan diri dan sebagainya.

Sekiranya diceraikan dengan talak bain seperti cerai secara khuluk, atau cerai taklik, atau talak tiga, maka isteri hanya layak mendapat tempat tinggal sahaja dalam tempoh Iddah. Namun jika diceraikan dalam keadaan hamil, maka istei layak mendapat semua kemudahan sepertimana perempuan yang diceraikan dengan talak rajie.

Berkenaan dengan kadar pula, isteri berhak menerima nafkah mengikut nisbah dan ukuran sama ada suami itu golangan kaya, pertengahan atau miskin. Dalam masyarakat di Negara kita hari ini jumlah makanan yang menjadi asas dalam sehari ialah pada waktu pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, iaitu empat kali.

Hak menerima nafkah dalam tempoh Iddah gugur secara automatik sekiranya suaminya meninggal dunia semasa dalam tempoh Iddah. Namun Isteri berhak menerima pusaka daripada harta yangditinggalkan oleh suaminya.

Kesimpulannya, isteri yang telah diceraikan oleh suami perlu tahu bahawa walaupun dalam saat-saat yang getir dan menyedihkan ditinggalkan oleh suami, isteri masih lagi ada ruang dan peluang untuk mengumpul kekuatan bagi meneruskan kehidupan dengan adanya peruntukan undang-undang dan Hukum Syarak tentang kewajipan suami ke atas isteri dalam tempoh Iddah. Walaupun suami mengabaikan pemberian nafkah dalam tempoh Iddah isteri wajar meminta semula atas apa yang telah dibelanjakan sendiri memandangkan ianya dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar semula. Sekurang-kurangnya wanita yang diceraikan tahu bahawa beliau berhak untuk tinggal di rumah kelamin yang dahulunya beliau dan suami serta anak-anaknya tinggal disebabkan ada kes-kes berlaku di mana suami dengan sewenang-wenangnya terus menghalau isteri keluar dari rumah tesebut sebaik sahaja suami melafazakan talak.