Thursday 31 January 2013

Hak Seorang Isteri Apabila diceraikan


MAJALAH JELITA BULAN FEBRUARI

Secara umumnya wanita yang telah diceraikan oleh suaminya berhak menuntut nafkah untuk dalam tempoh Iddah, iaitu selama tiga kali suci. Namun perkara ini kurang diambil perhatian oleh pihak-pihak yang telah bercerai terutamanya bagi golongan suami yang langsung tidak endah akan tanggungjawab dan kewajipan yang masih terletak dibahunya, sehinggalah bekas isterinya bertindak memfailkan tuntutan nafkah Iddah di mahkamah. Bukankah pekara ini merugikan masa pihak-pihak termasuklah suami yang terpaksa turun naik ke mahkamah berkali-kali semata-mata untuk menyelesaikan tuntutan oleh bekas isterinya sedangkan perkara ini tidak perlu dibawa ke mahkamah jika suami sedar dan melaksanakan tanggungjawabnya menanggung isteri semasa dalam tempoh Iddah?

Ini kerana kebanyakan kes-kes tuntutan nafkah Iddah di mahkamah kelihatan seolah-olah membuang masa semua pihak terutamanya kes-kes yang melibatkan amaun tuntutan yang sedikit tetapi memakan masa sehingga 2 ke 3 tahun dan perkara ini seharusnya boleh diselesaikan secara baik sekiranya suami tersebut tahu tentang hokum dan tanggungjawabnya walaupun tidak berhajat untuk rujuk semula selepas bercerai dengan bekas isterinya.

Dalam hal ini golongan wanita mempunyai hak untuk memfailkan tuntutan Nafkah Iddah dan mahkamah berbidangkuasa untuk mendengar tuntutan ini atas asas berikut iaitu:-

1)Suami langsung tidak membayar nafkah kepada isteri dalam tempoh Iddah
2)Isteri tidak berpuashati dengan jumlah yang diberi oleh suami

Apa yang dimaksudkan dengan Nafkah Iddah? Nakah Iddah ialah nafkah yang berhak de\iperolehi istei yang diceraikan yang sepenuhnya ditanggung oleh pihak suami sepanjang tempoh Iddah sama seperti wanita tersebut masih bergelar isteri. Namun tempoh masanya berbeza mengikut tempoh Iddah. Empoh Iddah berbeza sepertimana berikut:-
1) Wanita hamil telah tamat tempoh Iddahnya setelah dia melahirkan anak atau keguguran sama ada bercerai hidup atau bercerai mati
2) Wanita yang masih didatangi haid tamat tempoh Iddahnya selepas tiga kali suci
3) Wanita yang haidnya tidak normal atau putus haid tamat tempoh Iddahnya selepas tiga bulan
4) Wanita yang kematian suami dan tidak hamil tamat tempoh Iddahnya setelah empat bulan sepuluh hari.
5) Wanita yang tidak pernah disetubuhi tidak ada tempoh iddah.

Dari segi hukum Syarak perempuan yang dalam Iddah bercerai mati tidak dibenarkan untuk berhias diri dalam situasi yang boleh menyebabkan lelaki lain tertarik. Mereka juga dilarang untuk menerima lamaran secara terang-terangan apatah lagi cuba untuk menggoda perhatian lelaki.

Golongan wanita apabila diceraikan tidak seharusnya diletakkan di dalam keadaan yang susah selepas diceraikan lebih-lebih lagi apabila perceraian tersebut berlaku tanpa sebab-sebab yang patut dan munasabah seperti masalah orang ketiga, masalah kewangan suami ataupun atas faktor dan desakan pihak lain dan bukannya atas kemahuan isteri itu sendiri.

Bekas isteri berhak kepada taraf hidup yang sama selepas diceraikan seperti taraf hidup semasa perkahwinan dengan suaminya dahulu walaupun di dalam tempoh Iddah. Adalah menjadi tanggungan Suami untuk memastikan kehidupan Isteri selesa selepas diceraikan dan tidak dibebani dengan masalah-masalah kewangan dan lain-lain.

Ini adalah selari dengan Firman Allah SWT di dalam Surah At-Talaq : 6 yang berbunyi seperti berikut:


Yang bermaksud:
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani Iddahnya) itu ditempat yang sesuai dengan kemampuan kamu; Dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan untuk menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusukan) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya”

Di bawah Seksyen 59(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan dengan jelas kuasa kepada Mahkamah Yang Mulia Ini untuk memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada bekas isterinya. Peruntukan tersebut menyebut:

“Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya”

Manakala di bawah Seksyen 65 (1) Akta yang sama juga telah jelas dan nyata memperuntukkan hak seorang isteri yang telah diceraikan untuk menerima nafkah daripada bekas suaminya sepanjang tempoh Iddah. Peruntukkan tersebut menyebut bahawa :-

“ hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh Iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz”

Walaubagaimanapun kebanyakan kes-kes di mahkamah ada menunjukkan tentang salah faham di pihak bekas sumai yang mana suami enggan untuk membayar nafkah Iddah isterinya atas alasan isteri telah berlaku nusyuz semasa dalam tempoh perkawinan. Malangnya suami mendakwa isteri nusyuz tanpa mengemukakan sebarang bukti yang menunjukkan bahawa adanya perintah mahkamah yang mengsiytiharkan isteri nusyuz. Sebaliknya bekas suami ini menggunakan kesempatan dengan mendakwa bekas isterinya dahulu berperangai menyerupai nusyuz dan menggunakan alasan tidak mahu memperbesar-besarkan kesalahan yang dilakukan oleh isterinya dahulu. Maka dalam hal ini wanita tidak perlu takut kerana peruntukan undang-undang cukup jelas menyatakan bahawa untuk mendakwa isteri hingga ke tahap nusyuz, sekaligus menghentikan hak istei untuk menerima nafkah termasuk dalam tempoh Iddah memerlukan satu perintah dari mahkamah. Justeru, selagimana tidak ada sebarang perintah yang mengisytiharkan isteri itu Nusyuz, maka hak untuk mendapat nafkah sehingga dalam tempoh Iddah masih lagi wujud dan perlu dituntut jika suami enggan melaksanakannya.

Terdapat salah faham di kalangan masyarakat hari ini di mana apabila talak dilafazkan oleh suami, maka isteri perlu keluar dari rumah kelamin dan tidak berhak tinggal sebumbung dengan suami lagi. Malah ada kes yang berlaku di negara kita di mana oleh kerana kurang kefahaman tentang Hukum Syarak oleh pihak suami, selepas berlakunya perceraian suami menghalau bekas isterinya yang masih dalam tempoh Iddah keluar dari rumah kelamin tersebut. Keadaan ini semakin rumit apabila adik-beradik bekas suami juga turut masuk campur menghalau bekas isteri tadi dan mengatakan bekas isteri tersebut tidak tahu malu, masih menumpang di rumah adiknya walaupun telah diceraikan! Namun setelah dirujuk kepada pihak yang lebih arif isteri tersebut bertegas untuk tinggal di rumah tersebut sehinggalah selesai tempoh Iddah. Keaadan ini perlu diperjelaskan dalam masyarakat kita terutamanya golongan suami yang kurang faham tentang hak wanita semasa dalam tempoh Iddah sepertimana berikut:-

Wahai Nabi! Apabila engkau hendak menceraikan isteri-isteri kamumaka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya danhitunglah masa iddah itu dengan betul serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.

(Surah At-Talaq (65))

Apakah hikmah yang tersirat dari kewujudan perintah nafkah Iddah ini? Adalah perlu mengambil kira akan kesulitan-kesulitan yang dialami oleh Isteri selepas ditinggalkan dan diceraikan oleh suami yang mana Isteri terpaksa menanggung beban rumahtangga seorang diri tanpa dibantu oleh Suami. Tambahan pula bagi kes-kes yang melibatkan Suami tidak meninggalkan apa-apa harta semasa penceraian yang lalu disamping keluarga Suami juga tidak memperuntukkan apa-apa nafkah kepada Isteri..

Sehubungan dengan itu, Isteri wajar menerima nafkah daripada bekas suaminya iaitu dalam tempoh Iddah dengan jumlah yang dipohon kerana jumlah tersebut memenuhi serba sedikit keperluan Isteri. Keadaan ini juga bersesuaian dengan sabda Rasulullah SAW:

Yang bermaksud:
“Ambillah (daripada harta suamimu) apa yang mencukupkan kamu dan anak-anak kamu dengan baik”

Terdapat juga persoalan yang timbul iaitu bila nafkah Iddah boleh diminta? Adakah tuntutan akan luput selepas tempoh Iddah selesai? Terdapat nas yang menyatakan bahawa nafkah isteri tidak gugur bahkan hutang yang tertanggung ke atas suaminya.

Kadar pemberian nafkah tertakluk kepada jenis talak yang jatuh kepada isterinya sama ada talak rajie atau talak bain. Jika diceraikan dengan talak rajie suami perlu menanggungnya seperti berikut:-

i. Memberikan makanan sepatutnya
ii. Menyediakan pakaian yang sepatutnya
iii. Mengadakan tempat tinggal yang selesa
iv. Memenuhi keperluan asas lain seperti perubatan, peribadatan, pendidikan, dandanan diri dan sebagainya.

Sekiranya diceraikan dengan talak bain seperti cerai secara khuluk, atau cerai taklik, atau talak tiga, maka isteri hanya layak mendapat tempat tinggal sahaja dalam tempoh Iddah. Namun jika diceraikan dalam keadaan hamil, maka istei layak mendapat semua kemudahan sepertimana perempuan yang diceraikan dengan talak rajie.

Berkenaan dengan kadar pula, isteri berhak menerima nafkah mengikut nisbah dan ukuran sama ada suami itu golangan kaya, pertengahan atau miskin. Dalam masyarakat di Negara kita hari ini jumlah makanan yang menjadi asas dalam sehari ialah pada waktu pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam, iaitu empat kali.

Hak menerima nafkah dalam tempoh Iddah gugur secara automatik sekiranya suaminya meninggal dunia semasa dalam tempoh Iddah. Namun Isteri berhak menerima pusaka daripada harta yangditinggalkan oleh suaminya.

Kesimpulannya, isteri yang telah diceraikan oleh suami perlu tahu bahawa walaupun dalam saat-saat yang getir dan menyedihkan ditinggalkan oleh suami, isteri masih lagi ada ruang dan peluang untuk mengumpul kekuatan bagi meneruskan kehidupan dengan adanya peruntukan undang-undang dan Hukum Syarak tentang kewajipan suami ke atas isteri dalam tempoh Iddah. Walaupun suami mengabaikan pemberian nafkah dalam tempoh Iddah isteri wajar meminta semula atas apa yang telah dibelanjakan sendiri memandangkan ianya dianggap sebagai hutang yang wajib dibayar semula. Sekurang-kurangnya wanita yang diceraikan tahu bahawa beliau berhak untuk tinggal di rumah kelamin yang dahulunya beliau dan suami serta anak-anaknya tinggal disebabkan ada kes-kes berlaku di mana suami dengan sewenang-wenangnya terus menghalau isteri keluar dari rumah tesebut sebaik sahaja suami melafazakan talak.

 

No comments:

Post a Comment